Friday 22 April 2011

Istiqamah 4 Rukun Konsistensi Iman

Assalamualaikum....

Pada  20 April 2011 (Rabu) haritu aku menghadiri satu kuliah agama bersama Mak Mertua kesayangku dengan adik ipar di Ana Edar Grennwood, Gombak. Penceramah pada malam tersebut adalah antara ustaz favorite aku, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil . Kadang-kadang ustaz tersebut lebih glamour dengan delaran Saifulislam. Ini kerana website ustaz tersebut menggunakan nama url http://saifulislam.com. Kalau masih tak kenali, ustaz ini pernah mengarang buku yang terkenal di kalangan kita semua antaranya buku AKU TERIMA NIKAHNYA (merupakan buku yang terlaris), BERCINTA SAMPAI KE SYURGA, MURABBI CINTA, RINDU BAU POHON TIN, SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH dan TRANSFORMASI RAMADAN. Anda semua dah kenal siapa Ustaz Hasrizal nih..? :) 

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (http://saifulislam.com)



Kuliah agama tersebut berkisar berkenaan tajuk ISTIQAMAH 4 RUKUN KONSISTENSI IMAN. Kuliah agama yg amat berguna tidak mungkin aku tinggal dengan hanya sia-sia tanpa menulis point2 penting untuk rujukan aku nanti. Manusia ini ada kalanya dia akan lupa  apa yang didengar dan dilihatnya. Aku termasuk dikalangan tersebut. Sebab itulah aku mangambil inisiatif untuk menulis poin2 tersebut di dairi ku agar ilmu itu tidak dipersiakan begitu sahaja. Dan sudah pastinya aku boleh berkongsi sedikit ilmu ini bersama rakan2 di luar sana. Antara point2 yang aku coretkan di dairiku akan ku coretkan di sini untuk ikitbar kita semua. InsyaAllah hendaknya....

Al-Wahhab-Maha Pemberi Kurnia
"Al-Wahhab" merupakan nama-nama Allah S.W.T (Asma al-Husna). "Al-Wahhab" bermaksud Yang Maha Pemberi Kurnia. Antara pengertian mendalam untuk "Al-Wahhab" ini antaranya adalah:
  1. Allah S.W.T lebih banyak memberi daripada kita meminta kepada-NYA
  2. Allah S.W.T memberi secara yang berulang-ulang
  3. Allah S.W.T memberi tanpa meminta balasan
  4. Allah S.W.T memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan sesuatu kebaikan
  5. Allah S.W.T memberi sesuatu yang sangat penting dan istimewa
Tiada andaian-andaian yang akan membantu seseorang itu untuk beristiqamah, melainkan harus patuh kepada rukun-rukunnya yang dibentangkan Allah di dalam Surah Hud (ayat 112-115). 4 rukun Istiqamah adalah:


  • Rukun 1: JANGAN MELAMPAU


  • "Janganlah kamu melampau"
    - Ia bermaksud kecenderungan untuk melakukan perbuatan yang memberat-beratkan sesuatu. Antaranya dikenali sebagai mereka yang ekstrim. Cukup sekadar melampau itu diertikan sebagai melakukan sesuatu melebihi apa yang diperintahkan oleh Allah SWT, dengan sangkaan bahawa memberat-beratkan diri dengan melampaui perintah Allah itu petanda kepada TAQWA. Puasalah, tetapi berbukalah juga. Bangunlah malam, tapi peruntukkan juga masa untuk tidur. Beribadahlah semahunya, tetapi bernikah juga. Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata jika mereka yang enggan pada peraturan seimbang ini, “engkau bukan dari umatku” .


  • Rukun 2: JANGAN CENDERUNG KEPADA GOLONGAN YANG ZALIM

  • “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”
    - Zalim memberi pengertian iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Manusia yang zalim adalah  manusia yang mensyirikkan Allah, manusia yang berbuat maksiat serta manusia yang mengambil hak orang lain. Sebagai seorang sahabat kita seharusnya memberi nasihat kepada sahabat kita yang lain tapi jangan kita pula cenderung kepada mereka. Contohnya: "Kita sudah mengetahui waktu zuhur telah masuk, tapi kita melambat-lambatkan solat untuk menjaga kepentingan sahabat kita. Golongan yang cenderung kepada para zalimin, bukannya dicampakkan ke neraka, bahkan mereka itu disambar oleh api murka Allah. 


  • Rukun 3: SOLAT

  • "Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. "
    - Solat merupakan alat perhubungan kita dengan Allah. Seperti kapal terbang, jika ia terputus komunikasi dengan menara kawalan sudah pastinya ia akan terbabas. Begitu juga dengan kita dengan Allah. Walaubagaimanapun keadaan kita, wajib bagi kita untuk solat walaupun dalam keadaan sakit. Ada suatu cerita mengisahkan bahawa seorang tua iaitu ibu kepada anak2 terlantar (koma) selama beberapa bulan dengan diletakkan ibu itu di bilik yang sangat kotor dan busuk. Dan kemudian didatangi seorang ustaz dan ustaz tersebut membersihkan bilik tersebut. Dengan berkat daripada Allah, ibu yang terlantar sakit itu tersedar dari komanya dan terus ingin bersolat. MasyaAllah selepas selesai daripada solatnya, ibu tersebut telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Peringatan juga buat kita semua, khuatir sekali jika sepanjang hayat kita bersolat, tetapi lima hari terakhir sebelum mati kita tidak bersolat kerana uzur, walhal selagi masih sedar, selagi itulah kita mukallaf terhadap kewajipan solat itu. Mampukah kita pastikan solat kita hingga ke waktu solat terakhir sebelum berangkat mati?


  • Rukun 4: BERSABAR

  • "Dan sabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan."
    - Sabar yang digambarkan adalah sebagai matahari. Sabar adalah sumber segala-galanya. Sabar boleh dikategorikan kepada: Sabar dengan Allah, Sabar bersama Allah dan Sabar kerana Allah. Bersabarlah… tiada sabar kecuali dengan Allah, tiada sabar kecuali dengan melazimkan diri bersama Allah, tiada sabar kecuali sabar untuk Allah, dan jangan sekali-kali berlaku sombong dengan menyabarkan diri DARI Allah.
    Rumusannya adalah "Janganlah kita berhenti taubat kerana takut nanti Allah akan mencabut nyawa kita sebelum kita bertaubat untuk taubat yang seterusnya."

    Anda boleh membaca al-Quran untuk memahami maksud istiqamah ini, dengan meneliti surah Huud (Ayat 112-115) berserta terjemahannya. Jika terdapat kesilapan dari apa yang ditulis ini, harap dapat di dengarkan kepada saya semula. Yang baik itu datang dari Allah, dan yang silap itu datangnya daripada saya sendiri. marilah sama-sama kita memanfatkan dan menilai siapa kita sebenarnya.

    Penulisan ini boleh dihayati dengan lebih mendalam dengan melayari  http://saifulislam.com/3113..

      No comments:

      Post a Comment

      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...